Setiap perniagaan pasti mempunyai risikonya yang tersendiri, namun segala risiko ini dapat dikawal sekiranya syarikat tersebut mempunyai insurans perniagaan.
Insurans perniagaan ini amat penting kerana ia dapat mengurangkan kos kerugian yang terpaksa ditanggung pemilik syarikat seandainya berlaku sebarang musibah seperti bencana alam atau dugaan yang tidak diinginkan dengan cara mendapatkan pampasan.
Pampasan yang diterima itu boleh digunakan untuk membina dan membangunkan semula bisnes selepas mengalami kerugian yang besar.
Bagaimanapun, segelintir pemilik syarikat tidak bertanggungjawab sanggup menipu dengan membuat laporan palsu demi menuntut pampasan insurans untuk kepentingan diri sendiri.
Pemilik kedai aksesori kereta buat laporan palsu, konon kedai dipecah masuk
Begitulah yang dilakukan seorang pemilik kedai aksesori kereta ini apabila sanggup membuat laporan palsu kepada pihak polis dengan mendakwa konon premisnya di Dataran Mentari, Petaling Jaya dipecah masuk sehingga menyebabkan kerugian RM600,000.
Menurut laporan Awani, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki berusia 39 tahun itu membuat laporan berhubung kejadian terbabit pada 1.09 tengah hari Jumaat lepas (20 Januari).
Hasil siasatan dapati tiada kejadian pecah masuk, pemilik kedai akui ingin tuntut insurans
Mohamad Fakhrudin berkata, bagaimanapun hasil siasatan mendapati tiada kejadian pecah masuk premis seperti yang dilaporkan dan lelaki terbabit mengaku membuat laporan untuk mendapatkan tuntutan insurans.
“Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu memberi maklumat palsu terhadap lelaki itu dan dia akan dipanggil ke mahkamah untuk pertuduhan dalam masa terdekat.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad lalu (29 Januari).
Pada masa sama, beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat laporan palsu sesuka hati demi kepentingan diri sendiri sehingga mengelirukan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.