fbpx
Now Reading
Trend Penceraian Makin Meningkat, Pakar Cadang ‘Upgrade’ Modul Kursus Praperkahwinan

Trend Penceraian Makin Meningkat, Pakar Cadang ‘Upgrade’ Modul Kursus Praperkahwinan

Berdasarkan data yang direkodkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah, pada tahun 2021 sebanyak 45,420 kes perceraian telah didaftarkan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak laporan berhubung kisah penceraian sama ada artis ataupun orang biasa khususnya di media sosial.

Trend penceraian pada masa kini dilihat semakin meningkat terutamanya dalam kalangan masyarakat Islam.

Berdasarkan statistik yang direkodkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah, sebanyak 45,420 kes penceraian telah didaftarkan pada tahun 2021.

Antara punca utama yang dikenal pasti menyumbang kepada penceraian adalah disebabkan oleh faktor kewangan, curang, campur tangan keluarga dan keganasan rumah tangga.

Pakar Cadang Teliti Semula Modul Kursus Praperkahwinan

Menurut Kaunselor di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr. Azmawaty Mohamad Nor, sudah tiba masanya pihak berwajib meneliti semula dan menambah baik modul kursus praperkahwinan untuk disesuaikan dengan cabaran pada masa kini.

“Kursus ini relevan dan penting bagi bakal pengantin, namun boleh ditambah baik dari semasa ke semasa agar seiring dengan situasi yang dialami oleh masyarakat sekarang,” katanya.

Perkenal Modul Pengurusan Mental & Emosi

Beliau turut menyarankan agar modul pengurusan mental dan emosi turut diperkenalkan dalam kursus tersebut.

Bagi Azmawaty, ilmu itu penting agar masalah seperti penderaan mental dan emosi pasangan dapat dielakkan selain daripada penderaan dari segi aspek fizikal.

“Apabila individu mempunyai ilmu untuk menguruskan mental dan emosi, mereka akan lebih cenderung menzahirkan emosi positif serta bertindak dengan lebih baik dalam mengawal sebarang konflik yang berlaku,” katanya.

Malah, beliau berpendapat melalui modul ini juga, ia dapat membantu pasangan menguruskan mental dan emosi terutama ketika menghadapi konflik antara satu sama lain.

“Lebih merisaukan apabila keadaan ini membawa kepada perbuatan jenayah atau bertindak di luar batas perikemanusiaan, kesan daripada ketidakupayaan mengawal pertelingkahan atau konflik yang berlaku,” katanya lagi.

Tekan Konsep 3R Dalam Modul Praperkahwinan

Untuk membantu pasangan mengawal perasaan dan emosi dalam sebuah perkahwinan, beliau mencadangkan konsep 3R iaitu retract, rethink dan respond diterapkan dalam modul praperkahwinan.

Menurut beliau, retract merupakan satu situasi apabila individu mengalami emosi kemarahan dan perlu mencari ruang untuk melegakan rasa tersebut.

Kemudian, individu itu perlu fikir semula (rethink) cara untuk menyelesaikan masalah sebelum respond kepada keadaan yang sedang berlaku.

Tambahnya lagi, penjagaan kesihatan mental juga merupakan satu elemen penting dalam sesebuah perkahwinan kerana ia mempengaruhi sesuatu hubungan.

“Selain aspek pengurusan mental dan emosi, menjaga kesihatan mental juga adalah penting. Mental yang tidak sihat boleh membawa kepada gejala negatif lain termasuk kemurungan, dan golongan wanita atau isteri dilihat lebih berisiko berdepan gejala itu,” katanya.

Untuk info, pasangan islam yang bakal berkahwin diwajibkan menghadiri kursus praperkahwinan sebagai persediaan sebelum menempuh alam rumah tangga.

Manakala bagi pasangan bukan islam, bermula tahun 2016, mereka digalakkan untuk menghadiri kursus yang hampir sama yang dikendalikan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga dan Negara.

Baca Artikel Berkaitan: JAIS Cadang Wajibkan Kursus Selepas Berkahwin Sebagai Usaha Atasi Kes Penceraian

Baca Artikel Berkaitan: 76,000 Pasangan Bercerai Sejak Pandemik Covid-19 Landa Negara

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.