fbpx
Now Reading
Kes Buli MCKK : PIBG Buat Laporan Polis, Mahu Ambil Tindakan Terhadap Pihak Tularkan Insiden

Kes Buli MCKK : PIBG Buat Laporan Polis, Mahu Ambil Tindakan Terhadap Pihak Tularkan Insiden

Terdahulu, PIBG MCKK menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi milik mereka meluahkan rasa kesal dengan tindakan ahli keluarga yang menyebar kejadian buli di media sosial.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada hari Isnin (6 November) yang lalu, kami ada melaporkan tentang insiden kes buli yang melibatkan pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak.

Kejadian itu mula tular di media sosial apabila ahli keluarga mangsa buli berkenaan dikatakan tidak berpuas hati dengan hukuman yang dijatuhkan oleh pihak sekolah ke atas pembuli.

Malah, tindakan ahli keluarga yang menyebarkan kejadian buli di media sosial mendapat perhatian Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang kesal dengan penularan insiden tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: PIBG MCKK Kesal Tindakan Pihak Sebarkan Kes Buli

PIBG Buat Laporan Polis, Pihak Terlibat Bakal Dikenakan Tindakan

Terbaharu, PIBG MCKK telah membuat laporan polis berhubung tindakan pihak yang menyebarkan kejadian buli di sekolah elit itu.

Menurut peguam yang mewakili PIBG MCKK Hasshahari Johari Mawi, mereka mengambil langkah demikian setelah melihat keadaan semakin tidak terkawal selepas kejadian berkenaan tular sejak beberapa minggu yang lalu.

“Perkara ini ditularkan beberapa minggu lalu dan telah menjadi di luar kawal sehingga hari ini. Satu tindakan perlu diambil PIBG (laporan polis) sebagai reaksi terhadap ancaman serta ugutan diterima kepada anak-anak, ibu bapa, penjaga serta guru-guru.

“Kita berharap dengan laporan ini orang ramai akan berhenti mengeluarkan hantaran, komen berunsur fitnah mahupun ugutan terhadap mana-mana pihak di MCKK,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.

Wujud Hantaran Berunsur Fitnah

Tambah Hasshahari lagi, pihaknya juga turut mendapat arahan bagi meneruskan arahan perintah tegahan (gag order) ekoran terdapat hantaran yang mengandungi unsur fitnah dan fakta tidak benar.

“Ada beberapa hantaran serta individu telah dikenal pasti dan akan diambil tindakan. Mengenai hantaran yang dibuat, terdapat tiga individu berbeza terlibat iaitu di Instagram dan Facebook yang merupakan ‘sumber’ kepada penularan kes ini.

“Kita telah mengumpulkan hantaran-hantaran ini dan serahkan kepada pihak polis. Kemungkinan besar individu terlibat akan dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” jelasnya.

Memetik Harian Metro, selain PIBG, peguam Hasshahari turut mewakili beberapa keluarga pelajar sekolah berkenaan.

Beliau ditemui media selepas wakil PIBG membuat laporan di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur.

Terdahulu, PIBG MCKK menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi milik mereka menyatakan rasa kesal dengan tindakan ahli keluarga yang menyebar kejadian buli di media sosial.

Bagi mereka, perbuatan itu memberi impak yang besar dan imej buruk terhadap institusi tersebut.

Malah, persatuan berkenaan turut mendakwa menerima laporan terdapat pelajar MCKK yang diherdik dan dihalau dari kedai makan sekitar Kuala Kangsar dan dianggap sebagai pembuli.

Baca Artikel Berkaitan: Lima Bekas Pelajar Diarah Bayar RM616,634 Kerana Buli Rakan Sekolah Hingga Pekak

Baca Artikel Berkaitan: Tular Ibu Dedah Anak Sering Jadi Mangsa Buli Di Sekolah, Tangan Diconteng ‘Kau B*bi’

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.