Kebanyakan Rakyat Malaysia Masih Mampu Beli Kereta Baharu, Kata Penganalisis
Hasil analisis Kenanga Investment Bank menunjukkan keadaan itu disokong oleh keyakinan pengguna yang kukuh, ekonomi stabil dan pasaran pekerjaan yang sihat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Rata-rata daripada rakyat Malaysia pada ketika ini mengakui kos sara hidup di negara ini semakin meningkat naik.
Kenaikan kos ini mendorong segelintir daripada mereka untuk melakukan lebih dari satu kerja dalam satu masa bagi menampung perbelanjaan dalam kehidupan harian.
Selain itu, ada juga yang mengambil inisiatif dengan mengubah gaya hidup daripada mewah menjadi sederhana antaranya dengan menukar kediaman atau kenderaan yang bersesuaian dengan poket.
Penganalisis Dedah Majoriti Rakyat Malaysia Mampu Beli Kereta Baharu,
Namun begitu, berdasarkan hasil analisis yang dibuat oleh Kenanga Investment Bank Bhd menunjukkan kebanyakan isi rumah masih mampu membeli kereta baharu di sebalik kadar inflasi tinggi dan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan.
Menurut penganalisis Wan Mustaqim Wan Ab Aziz, keadaan ini disokong oleh keyakinan pengguna yang kukuh, ekonomi stabil dan pasaran pekerjaan yang sihat.
Selain itu, penangguhan peraturan duti eksais yang baharu yang boleh menjadikan harga kenderaan pemasangan tempatan meningkat sebanyak 8% hingga 20% menyebabkan harga kenderaan baharu menjadi stabil sekali gus meningkatkan tahap kemampuan pengguna.
“Malah, kos sewa beli yang berpotensi lebih murah dengan pengenalan kaedah pengurangan baki dalam pengiraan caj faedah, manakala model baharu yang menarik turut menyumbang (pembelian kereta baharu).
“Bagaimanapun, kami mengakui bahawa rasionalisasi subsidi bahan api yang akan berlaku mungkin menjejaskan permintaan untuk model pasaran pertengahan.
“Namun, kami kekal optimis terhadap jualan kenderaan dalam segmen mampu milik dengan pembeli daripada kumpulan B40 yang tidak terkesan dengan rasionalisasi subsidi selain berpotensi mendapat manfaat daripada pengenalan model gaji progresif,” katanya.
Model Kereta Jenama Tempatan Jadi Pilihan Pengguna
Tambah Wan Mustaqim, kereta keluaran jenama tempatan iaitu Proton dan Perodua dilihat lebih menjadi pilihan pengguna dengan mencatatkan angka jualan yang baik jika dibandingkan dengan jenama luar dengan menawarkan ciri teknologi dan keselamatan yang dipertingkatkan.
“PERODUA berada di hadapan dalam persaingan model baharu (dari segi volum) dengan pelancaran Perodua Axia serba baharu (ciri yang dipertingkatkan seperti meter kelajuan digital dan bantuan brek kecemasan) diikuti dua lagi model ‘facelift’ baharu tahun ini, dan satu model baharu pada awal 2024 (Perodua D66B, segmen-B).
“PROTON pula baru-baru ini melancarkan kenderaan elektrik hibrid ringan (MHEV) pertama untuk jenama tempatan, Proton X90 serba baharu dan sedan pertamanya di bawah perkongsian Geely, Proton S70, selain Proton- SMART (BEV), dan lima model ‘facelift’, semuanya dalam tahun ini,” jelasnya.
Jualan Kenderaan Turut Disokong Beberapa Inisiatif Lain
Menurut Kenanga Investment Bank juga, jualan kenderaan turut disokong oleh beberapa faktor lain antaranya melalui pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi kenderaan elektrik bateri (BEV) dan insentif kenderaan elektrik (EV) hingga tahun 2025 bagi unit yang diimport sepenuhnya dan tahun 2027 bagi unit pemasangan tempatan (CKD).
“Pendaftaran baharu BEV melonjak dengan ketara sejak dua tahun lalu (daripada 274 unit pada 2021 kepada lebih 3,400 unit pada 2022 dan 9,000 unit menjelang November 2023) dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran nasional untuk EV dan kenderaan hibrid.
“Sementara itu, kerajaan komited untuk membolehkan pengendali titik pengecasan (CPO) mendapatkan kelulusan lebih pantas untuk pemasangan bagi memberi keselesaan kerana hanya 1,434 stesen pengecas EV telah dibina setakat ini,” katanya.
Pun begitu, Kenanga Investment Bank turut meramalkan jumlah keseluruhan industri dijangka menyusut sebanyak 7.8% iaitu sebanyak 710,000 pada tahun 2024 berbanding 770,000 pada tahun 2023.
Menurut institusi perbankan itu juga, perolehan industri masih lagi kukuh yang disokong oleh tunggakan tempatan sebanyak 220,000 unit setakat akhir November 2023.
Baca Artikel Berkaitan: “Lepas 8 tahun susah senang bersama..” – Pernah Tular Kisah Bertahun Guna Skuter Sebelum Beli Kereta, Kini Pasangan Ini Upgrade Kereta Baru Lagi
Baca Artikel Berkaitan: “Baru Merasa Kereta” – Rezeki KWSP One-Off Lulus, Suami Isteri Merasa Beli Kereta Kancil [Video]