fbpx
Now Reading
Tarikh Bersalin Dah Nak Dekat? Ini Senarai Barang Yang Perlu Ibu Hamil Bawa Ke Hospital

Tarikh Bersalin Dah Nak Dekat? Ini Senarai Barang Yang Perlu Ibu Hamil Bawa Ke Hospital

Antara benda yang paling penting selain kelengkapan adalah dokumen seperti kad pengenalan, salinan sijil nikah dan buku pink.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Menyambut kelahiran cahaya mata khususnya yang pertama sememangnya amat mengujakan. Ia merupakan detik yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan suami isteri di mana mereka akan mula bergelar ibu bapa.

Namun, dalam pada kita teruja menyambut kelahiran, persiapan rapi harus dibuat khususnya buat ibu dan bayi.

Tahukah anda, hanya 5% bayi dilahirkan mengikut tarikh jangkaan bersalin (due date) manakala selebihnya akan dilahirkan beberapa minggu sebelum atau selepas tarikh tersebut.

Oleh sebab itu, anda disarankan untuk menyediakan beg hospital yang mengandungi barang keperluan buat ibu dan bayi seawal boleh.

Tapi, apa kelengkapan yang ibu perlu sediakan?

Jom kami kongsikan senarai barang yang wajib ada untuk anda bawa ke hospital:

#1 Dokumen Rasmi Seperti Kad Pengenalan, Salinan Sijil Nikah & Buku Pink

Foto: BK

Dokumen rasmi seperti kad pengenalan diri (IC), buku pink (Antenatal Record) dan sijil nikah merupakan antara benda yang paling penting perlu di bawa oleh bakal ibu.

Kad pengenalan diri dan salinan sijil nikah amat penting kerana ia diperlukan semasa mendaftar masuk ke hospital.

Sama seperti kedua-dua dokumen itu, buku pink juga merupakan dokumen penting yang perlu di bawa.

Ini kerana ia mengandungi rekod kesihatan dan maklumat berkaitan ibu serta bayi sepanjang tempoh kehamilan.

Malah, ia juga boleh memudahkan doktor untuk merujuk kepada buku tersebut sekiranya berlaku sebarang komplikasi.

#2 Ubat-Ubatan Ibu

Foto: Freepik

Para ibu, jangan lupa bawa juga ubat-ubatan yang pernah disarankan oleh doktor sepanjang tempoh kehamilan terutama jika ubat itu perlu diambil secara harian.

Ia penting agar dapat memudahkan anda mengambil ubat mengikut waktu yang ditetapkan oleh doktor.

Anda juga digalakkan untuk menyenaraikan senarai nama ubat yang diambil bagi memudahkan rujukan doktor ketika berada di hospital nanti.

#3 Makanan Yang Sesuai

Foto: Freepik

Walaupun pihak hospital akan menyedia dan memberi makanan kepada pesakit, anda disarankan untuk membawa makanan sendiri bagi tujuan memberi tenaga dan alas perut.

Ini kerana proses bersalin sememangnya memerlukan tenaga yang amat banyak. Dalam tempoh menunggu detik melahirkan, ada di antara ibu hamil yang tiada selera untuk mengambil makanan berat ekoran rasa sakit yang sedang dihadapi.

Jadi, anda boleh membawa makanan seperti biskut, kurma, roti atau minuman tenaga seperti milo bagi mengalas perut anda.

#4 Barang Keperluan Ibu

Foto: Freepik

Jangan lupa, bawa juga pakaian dan keperluan barang anda yang boleh digunakan terutama selepas bersalin nanti.

Ini kerana kondisi badan wanita selepas bersalin amat berbeza berbanding sebelumnya. Jadi, bagi memudahkan pergerakan anda, berikut antara barang yang boleh dibawa:

  • Kain Batik
  • Pakaian sebaiknya yang longgar khusus buat mereka yang bersalin kaedah secara pembedahan
  • Seluar dalam sokongan yang bersesuaian atau seluar dalam pakai buang
  • Tuala wanita atau maternity pads
  • Bra penyusuan
  • Tudung sarung buat ibu-ibu yang beragama Islam
  • Sarung kaki
  • Selipar atau kasut bersesuaian
  • Nursing cover atau pelindung penyusuan (jika anda perlu menyusukan bayi di luar bilik)
  • Tuala
  • Pam Susu (Breast Pump)

#5 Barang Keperluan Bayi

Foto: Freepik

Sama seperti golongan ibu, pakaian dan peralatan bayi juga perlu disediakan. Berikut kami kongsikan senarai barang yang boleh di bawa oleh anda ketika di hospital nanti:

  • Pakaian bayi sebaiknya yang mempunyai butang di tengah.
  • Bedung
  • Lampin dan pampers yang sesuai untuk bayi baru lahir
  • Sarung kaki dan sarung tangan
  • Barut
  • Tuala
  • Botol susu (jika perlu)
  • Minyak dan ubat-ubatan yang bersesuaian
  • Pin Napkin
  • Changing Mat

#6 Peralatan Mandian Buat Ibu & Bayi

Foto: Freepik

Lazimnya, ibu hamil yang sedang menunggu waktu untuk bersalin akan ditahan di wad sehari sebelum melahirkan bayi.

Malah, selepas proses melahirkan anak juga, wanita dan bayi juga akan ditahan sekurang-kurangnya sehari bagi tempoh pemantauan.

Oleh itu, ibu-ibu disarankan untuk membawa peralatan mandian khusus untuk anda dan bayi sepanjang menetap di hospital antaranya sabun, syampu, ubat dan berus gigi.

#7 Barang-Barang Penting Lain

Foto: Freepik

Mungkin nampak remeh tapi barang-barang ini sebenarnya penting juga untuk ibu-ibu yang bakal melahirkan bayi. Anda digalakkan membawa barang-barang berikut kerana kemungkinan akan digunakan ketika menunggu proses melahirkan.

  • Pengecas telefon
  • Al-Quran atau Yaasin buat ibu-ibu yang beragama Islam
  • Buku sebagai bahan bacaan di saat kebosanan

Jadi, buat ibu-ibu yang bakal melahirkan anak dalam masa terdekat, anda boleh menjadikan senarai ini sebagai panduan dalam melakukan persiapan bekalan untuk ke hospital.

Anda disarankan untuk menyediakan kesemua ini mengikut anggaran tempoh menetap serta pastikan anda dapat sediakan beg hospital sekurangnya-kurangnya dua bulan sebelum tarikh jangkaan bersalin.

Ia penting sebagai persediaan bagi memudahkan urusan pada hari bersalin.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.