
Lelaki Menyamar Pakai Telekung Curi iPhone Jemaah Wanita Sedang Solat Dalam Masjid Di Shah Alam [Video]
Di dalam video tular, suspek yang berseluar jeans dan berbaju hitam dilihat masuk ke dalam masjid ketika jemaah lain sedang menunaikan solat subuh.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Insiden lelaki menyamar sebagai perempuan untuk mencuri barangan milik jemaah di surau atau masjid di Malaysia bukan satu perkara baharu.
Kejadian sebegini juga pernah berlaku di surau wanita yang terletak di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya pada 2017 Sehingga suspek dipenjarakan selama 8 bulan.
Curi iPhone masa mangsa sedang solat jemaah subuh
Terbaharu tular di Twitter satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memperlihatkan seorang lelaki berbuat perkara sama sebelum mencuri sebuah peranti jenis iPhone X di sebuah masjid di Seksyen 18, Shah Alam, Selangor pada 20 Disember lalu.
Di dalam video tular yang dikongsikan pengguna Twitter @azfrrr, suspek yang berseluar jeans dan berbaju hitam dilihat masuk ke dalam masjid ketika jemaah lain sedang menunaikan solat subuh.
Selepas mundar-mandir bagi memastikan tindakannya tidak disedari mana-mana pihak, dia kemudian dilihat mencapai telekung di rak almari sebelum masuk ke kawasan solat wanita bagi memulakan kegiatan mencurinya itu.
Dia yang berjaya masuk ke dalam kawasan solat wanita kemudiannya dilihat berjaya mencapai telefon bimbit mangsa yang berada di saf belakang ketika mangsa dan semua jemaah sedang bersujud.
Disaat hamba Allah lain sujud di waktu subuh, ada yang ambil kesempatan untuk mengambil hak orang lain.
— Azfar (@azfrrr) December 20, 2022
Haih. Sakit hatinya Allah je yang tahu. Semoga dia ni diberi balasan setimpalnya. pic.twitter.com/lIucWsIlbf
Anak mangsa mohon bantuan orang ramai dapatkan semula iPhone X milik ibunya
Menurut Azfar, dalam kejadian yang berlaku pada 20 Disember itu, pencuri telah mengambil iPhone X milik ibunya.
Dia dalam masa sama turut menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang dapat membantu memulangkan semula peranti berkenaan.
“Mohon warga Shah Alam Seksyen 18 yang kenal hamba Allah yang sanggup sarung telekung untuk curi iPhone X mak saya untuk pulangkan balik peranti tersebut.
“Saya tawarkan ganjaran kepada siapa yang dapat pulangkan ia semula,” ciap pemuda itu lagi.
Mohon pertolongan warga #ShahAlam #Seksyen18ShahAlam yang kenal hamba Allah yang sanggup menyarung telekung untuk curi iPhone X mak saya subuh hari ini 20 Dis 2022 untuk beritahu pulangkan balik iPhone X tersebut.
— Azfar (@azfrrr) December 20, 2022
Saya tawarkan ganjaran kpd yg dapat pulangkan ia semula. pic.twitter.com/oDH3mzUtUu
Menurut pengguna media sosial yang lain, kejadian sama turut berlaku di sebuah masjid berbeza melibatkan suspek yang sama.
Same thing happened to my mom last night time solat isyak dkt masjid hidayah Sek18 Shah Alam. And rasa mcm orang sama ni.. pic.twitter.com/Ygo1fcb815
— ct (@adibahib) December 21, 2022
Suspek sudah ditangkap pada Khamis malam
Menerusi kemaskini terbaharu, suspek sudah pun berjaya ditangkap hasil bantuan penduduk Seksyen 18 Shah Alam.
Menurut Azfar, memandangkan laporan polis sudah dibuat, dia dan keluarga akan menyerahkan kes ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Alhamdulillah, penangkapan suspek telah dibuat malam tadi hasil kerjasama dan bantuan warga Seksyen 18 & Shah Alam.
— Azfar (@azfrrr) December 22, 2022
Laporan polis telah dibuat sebelum ini, jadi saya serahkan kes ini kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Terima kasih semua yang terlibat. 🙏🏼