fbpx
Now Reading
Kerana Cinta, Lelaki Sanggup Derma Buah Pinggang Buat Isteri Tersayang

Kerana Cinta, Lelaki Sanggup Derma Buah Pinggang Buat Isteri Tersayang

Mahu isterinya bahagia dan tidak terus melakukan rawatan dialisis, Bukhari tekad untuk mendermakan buah pinggang atas saranan doktor demi menyelamatkan nyawa isterinya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kerana cinta, seseorang itu sanggup memberi dan mengorbankan segalanya terutama wang ringgit hanya untuk memastikan yang tersayang mencapai kehidupan yang bahagia.

Malah, kerana cinta juga, pastinya kita tidak mahu melihat orang yang disayangi berada dalam keadaan terseksa dan kesakitan. Kalau diberi pilihan, pasti kita rela untuk menanggung kesakitan yang dihadapi oleh pasangan.

Begitu juga yang terjadi buat seorang lelaki yang dikenali sebagai Mohamad Al Bukhari Ellia atau Bukhari apabila dia sanggup mendermakan buah pinggang kiri kepada isterinya, Nurul Hasanah Salim.

Isteri Berhak Hidup Bahagia, Tidak Mahu Isteri Terus Jalani Dialisis

Menurut Bukhari, dia dan pasangannya selamat diijabkabulkan pada 25 September 2020 namun hanya sempat menjalani kehidupan normal sebagai suami isteri selama seminggu sebelum isterinya dikejarkan ke hospital akibat komplikasi buah pinggang.

“Ikutkan kami tak sempat pergi berbulan madu kerana selepas seminggu kahwin, isteri tunjukkan simptom badan berasa sejuk, tak larat, menggigil dan nak muntah.

“Hasil pemeriksaan awal ujian darah yang dilakukan oleh isteri menunjukkan keputusan tidak normal, kemudian doktor sahkan dia ada masalah buah pinggang kerana organnya itu mengecut dengan fungsi hanya 5% saja,” katanya.

Mengakui sedih dengan nasib yang menimpa, Bukhari bagaimanapun berlapang dada dan menganggap ia adalah ujian daripada Allah buat dirinya.

Mahu insan tersayang bahagia dan tidak terus melakukan rawatan dialisis, Bukhari tekad untuk mendermakan buah pinggang atas saranan doktor demi menyelamatkan nyawa isterinya.

“Doktor kata kalau nak hidup normal kena dapatkan buah pinggang daripada penderma hidup atau mati otak, jadi saya tawarkan diri (untuk jadi penderma) dan teruskan hasrat itu selepas berbincang serta dapat restu keluarga,” kata Bukhari.

Tunggu Dua Tahun Giliran Untuk Transplan Buah Pinggang, Ada Yang Pertikai Keputusan

Menurut Bukhari, sebelum layak menjadi penderma buah pinggang buat isterinya, dia perlu melepasi saringan yang ditetapkan. Dengan izin Allah, dia berjaya melepasi saringan tersebut namun perlu menunggu dua tahun bagi menjalani transplan buah pinggang.

“Dua kali juga pemindahan buah pinggang itu hampir gagal kerana komplikasi ketika cuba masukkan organ ke saluran pundi namun akhirnya berjaya. Cuma isteri ditidurkan selama dua hari selepas prosedur itu,” katanya.

Tambah Bukhari, ada juga segelintir pihak yang mempersoalkan keputusannya namun dia nekad dan sudah berfikir tentang kesannya pada masa hadapan.

“Ramai juga tanya dengan saya mengapa saya nak dermakan buah pinggang dan tak takut ke memandangkan masih muda.

“Jujurnya memang gementar kerana ia soal hidup dan mati malah saya sampai tulis wasiat tetapi cekalkan hati demi isteri,” kata Bukhari dipetik dari Harian Metro.

Baginya, organ yang dimiliki adalah pinjaman daripada Allah, jadi tidak salah untuk dia menderma buat isteri yang memerlukan.

Kini, dia dan isterinya berada dalam keadaan yang baik dan isterinya dikatakan sedang menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Malah, dia juga sedang berusaha menjaga pemakanan dan tidak terlalu aktif dengan aktiviti lasak seperti yang disarankan oleh doktor.

Baca Artikel Berkaitan: Ikrar Derma Organ Satu Tindakan Murni Dan Mampu Selamatkan Nyawa

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Nekad Kahwini Semula Bekas Isteri Lepas Tahu Wanita Itu Sakit Tenat

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.