Netizen Persoal Penyanyi Terima Dana Kandungan Digital, Ini Respon Liza Hanim & Aina Abdul
Untuk info, senarai penuh 39 penerima dana DKD bagi kategori Dana Filem Cereka, Dana First Time Amature Filmaker (FAME), Dana Persembahan Muzik serta Dana Promosi dan Pemasaran Antarabangsa telah dikeluarkan oleh FINAS pada 29 Ogos yang lalu menerusi Facebook rasmi mereka.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Dana Kandungan Digital (DKD) atau sebelum ini dikenali sebagai Dana Industri Kandungan Digital (DIKD) merupakan bantuan kewangan yang diperuntukkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) khusus buat penggiat seni tanah air.
Dana ini diwujudkan selaras dengan penubuhan Content Malaysia Pitching Centre (CMPC) serta merupakan kesinambungan kepada Dasar Industri Kreatif yang bertujuan untuk memperkemas dan memudahkan penyaluran bantuan berkaitan industri kandungan kreatif.
Umumnya, ia terdiri daripada tiga kategori iaitu Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa, Dana Kebolehan Pasaran (Domestik) dan Dana Persembahan Muzik.
Kesemua penggiat seni tanah air berpeluang membuat permohonan bagi mendapatkan peruntukan dalam mempromosi atau menganjurkan aktiviti yang berkaitan seni tempatan.
Individu Kecewa Artis Ternama Antara Penerima Dana DKD
Walau bagaimanapun, baru-baru ini tular satu ciapan di Twitter berkaitan pihak yang menerima dana berkenaan.
Menerusi ciapan yang dibuat oleh pengguna Twitter @Arifbam, dia berasa kecewa dengan senarai individu yang menerima Dana Kandungan Digital 2023.
Ini kerana berdasarkan senarai rasmi nama penerima dana yang telah dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), terdapat beberapa penyanyi popular yang turut menerima dana berkenaan antaranya seperti Aina Abdul dan Liza Hanim.
Bagi mereka, dana tersebut sepatutnya diberi kepada pihak lain yang lebih berpotensi dan layak berbanding artis yang telah menempa nama dalam industri hiburan tanah air.
“Produk lokal mungkin tidak cukup meyakinkan pihak ‘Pengurus penggerak dana seni tempatan’. Tiada rezeki will try next year insyallah!” ciapnya dia Twitter.
Menerusi ciapan sama, dia turut menunjukkan paparan tangkap layar keputusan permohonan DKD 2023 seorang pemohon yang gagal.
Isu ini mencetuskan persoalan orang ramai apakah kriteria pemilihan penerima dana.
Aina Abdul Nafi Guna ‘Orang Dalam’
Terpanggil untuk menjawab isu ini, penyanyi terkenal dengan lagu Sumpah Aina Abdul, menolak dakwaan sesetengah pihak yang mempertikaikan kelayakannya dan mengatakan dia menggunakan ‘orang dalam’ bagi menerima dana tersebut.
“Apabila ada hamba Allah membuka aib saya dengan mempersoalkan kelayakan sebagai penerima dana di sebuah platform, sudah tentu saya rasa sedih dan kecewa.
“Harus saya tegaskan, tidak ada unsur ‘orang dalam’ atau jalan pintas. Saya tak kenal pun panel penilai. Kalau betul seperti dakwaan, sila tunjukkan bukti.
“Sama seperti orang lain, kami mohon dana mengikut prosedur yang betul. Ketika pembentangan kertas kerja dibuat, saya tiada pun di situ.
“Semuanya dilakukan oleh orang yang bukan dalam kalangan syarikat, Aina Abdul Entertainment bagi mengelakkan wujudnya berkepentingan peribadi,” ujar Aina yang menerima dana bagi pelaksanaan Konsert A Night With Aina Abdul 3.0.
Liza Hanim Anggap Dana DKD Sebagai Rezeki
Penyanyi Liza Hanim turut menjadi antara individu yang dipertikaikan kelayakannya oleh segelintir pihak berkaitan penerimaan dana DKD itu.
Menurut Liza yang merupakan Naib Juara Program Gegar Vaganza Musim Keempat, sebagai rakyat Malaysia, dia juga berhak untuk memohon dan menikmati keistimewaan yang ditawarkan kerana telah berada dalam industri seni lebih 20 tahun.
Malah, bagi penyanyi yang terkenal dengan lagu Gelisah Mimpi ini, dana tersebut boleh dimohon oleh sesiapa sahaja dan ia merupakan rezeki daripada Allah buat dirinya.
“Sesiapa saja boleh memohon. Saya tidak menerima dana ini dengan mudah, sebaliknya saya sendiri yang sediakan kertas kerja serta dokumen diperlukan dan turun padang menghadiri sesi ‘pitching’.
“Bagi saya, DKD yang diberikan kepada penyanyi tempatan tidak sepatutnya dipertikaikan kerana terbuka kepada sesiapa yang ingin memohon dana ini dan ia berbalik kepada rezeki. Alhamdulillah kali ini rezeki saya dapat DKD ini,” katanya yang menerima dana bagi penganjuran konsert Liza Hanim – 26 Years Journey.
Untuk info, senarai penuh 39 penerima dana DKD bagi kategori Dana Filem Cereka, Dana First Time Amature Filmaker (FAME), Dana Persembahan Muzik serta Dana Promosi dan Pemasaran Antarabangsa telah dikeluarkan oleh FINAS pada 29 Ogos yang lalu menerusi Facebook rasmi mereka.
#LensaFINAS SIARAN MEDIA Dana Kandungan Digital (DKD) Filem dan Industri Muzik serta Pelancaran Tabung Komuniti Filem. #FINASMalaysia #FilemKitaCitraKita #MalaysiaMadani
Posted by FINAS Malaysia on Monday, 28 August 2023
Baca Artikel Berkaitan: FINAS Saman 47 Individu & Syarikat Produksi Yang Gagal Terbit Filem Guna Dana RM20 Juta
Baca Artikel Berkaitan: Filem Vik2ria Secret Guna Dana Finas RM500 Ribu Tapi Hanya Raih Kutipan RM5k Undang Kritikan