fbpx
Now Reading
Dr Radzi Jidin Ajak Berjumpa Selepas Cikgu Fadli Salleh Dakwa Bakal Dibuang Kerja

Dr Radzi Jidin Ajak Berjumpa Selepas Cikgu Fadli Salleh Dakwa Bakal Dibuang Kerja

Sebagai info, Cikgu Fadlli Salleh sebelum ini pernah memenangi Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s pada tahun 2019 bersama 24 guru lain di Malaysia.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Nama Cikgu Mohd Fadli Salleh bukanlah satu nama asing di kalangan para ibu-bapa dan guru di Malaysia.

Dengan pengikut melebihi 600,00 di Facebook, Cikgu Fadli dikenali sebagai seorang pendidik yang berjiwa besar malah begitu menitikberatkan kebajikan para pelajarnya.

Malah beliau turut dikenali dengan kelantangannya menyuarakan isu-isu besar mengenai anak murid seperti beg sekolah berat dan juga silibus pelajaran sekolah rendah yang menurutnya menyukarkan pelajar.

Kelantangan suara bakal jadi punca dibuang kerja/ diturun pangkat

Namun siapa sangka, kelantangan beliau dalam isu tersebut menyebabkan guru di Sekolah Kebangsaan Gombak (1), Selangor ini bakal berdepan tindakan disiplin iaitu dibuang kerja atau diturunkan pangkat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Cikgu Fadli menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

“Kerana jujur dan mengatakan kebenaran, KPM nak buang kerja saya. Oh Malaysiaku. Malam ni saya kongsi terus surat dari KPM yang nak buang kerja atau turun pangkat saya. Kerana apa saya nak kena buang kerja?

“Kerana saya bercakap jujur dan menyatakan kebenaran. Mereka tak boleh dengar kebenaran. Mereka tak boleh dengan luahan jujur. Mereka hanya nak dengar ampu, bodek, puji-puja sahaja,” luah Cikgu Fadli.

Jelasnya dia hanya berkata jujur tentang apa yang berlaku iaitu :

1. Isu beg berat yang berbahaya pada anak-anak kecil.
2. Silibus tinggi dan padat yang menurutnya ‘syok sendiri’.
3. Bilangan murid yang ramai dalam kelas.
4. Subjek yang banyak murid belajar.
5. Masa belajar untuk subjek teras terutamanya Matematik tidak mencukupi.
6. Berlakunya Little Napoleon dalam sistem pendidikan.

“Saya berkata jujur tentang apa sampai nak kena buang kerja tu? Kata mereka, ‘Cikgu perlu guna saluran yang betul. Bukan di Facebook’. Jangan sembang saluran yang betul dengan saya. Dan sampai ke sudah saluran paling betul itu langsung tak memberi kesan apa-apa, bahkan makin menyusahkan.”

Luahnya lagi, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku hanya kerana menyuarakan apa yang benar apatah lagi beliau tidak pernah terlibat dengan sebarang masalah disiplin mahupun mempunyai masalah dengan ibu bapa pelajar sekolah.

Menerusi hantaran sama, beliau turut memuat naik surat bertarikh 22 September lalu yang menyatakan beliau akan dikenakan tindakan tatatertib sama ada dibuang kerja atau turun pangkat di atas tiga pertuduhan.

Dr Radzi maklum mahu berjumpa

Isu ini kemudiannya turut menarik perhatian Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Mohd Jidin.

Beliau menerusi satu kenyataan memaklumkan mahu berjumpa dengan pendidik berkenaan untuk mengetahui apa yang sebenarya terjadi.

“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan Cikgu Mohd Fadli Salleh. Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa,” tulisnya ringkas di Facebook.

“Begitu lama saya tag, baru sekarang hendak jumpa?”

Peka dengan pelawaan tersebut, pendidik tersebut bagaimanapun mempersoalkan mengapa baru sekarang Menteri Pendidikan berkenaan mahu berjumpa dengannya. Jelasnya, dia sudah lama memperjuangkan isu-isu tersebut.

“Beliau (Dr Radzi) ada tag saya. Nak jumpa bincang isu yang saya sebut. Baru malam ni beliau respon sedangkan saya berkali-kali tag beliau sebelum ini, saya komen di hantaran beliau, saya komen di page KPM merujuk pada beliau sejak bertahun lamanya. Tak pernah beliau respon walau sekali. Baru malam ini ada respon.”

“Kenapa agaknya baru malam ini? Bukan masa saya dipanggil unit integriti tahun lepas? Bukan masa saya tag dan komen pada post beliau dan post KPM berkali-kali sejak bertahun lama?

“Rasanya sebab kebangkitan rakyat. Rakyat marah sebab isu ini melibatkan anak-anak mereka juga. Orang ramai marah sebab KPM nak buang kerja kerana kejujuran saya,” luah beliau lagi.

Sebagai info, Cikgu Fadlli Salleh sebelum ini pernah memenangi Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s pada tahun 2019 bersama 24 guru lain di Malaysia.

Malah beliau turut menjadi panduan para pelajar dan ibu-bapa dengan menganjurkan kelas matematik online secara percuma untuk pelajar sekolah rendah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Baca artikel berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.