fbpx
Now Reading
Kakitangan Kerajaan Perancis Dihalang Guna Aplikasi WhatsApp & Telegram

Kakitangan Kerajaan Perancis Dihalang Guna Aplikasi WhatsApp & Telegram

Halangan itu tidak hanya terhad kepada aplikasi tersebut, malah ia juga turut terpakai kepada Signal dan aplikasi mesej yang lain.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kecanggihan teknologi pada masa kini sememangnya memudahkan kehidupan seharian. Jika dibandingkan dengan 20 tahun yang lalu, fungsi telefon hanya sekadar untuk membuat panggilan atau menghantar mesej ringkas semata-mata.

Namun, dengan kewujudan aplikasi mesej seperti WhatsApp dan Telegram, pengguna bukan sahaja boleh menghantar mesej, fungsi itu telah diperluaskan kepada penghantaran mesej bergambar, dokumen, panggilan video dan lain-lain lagi.

Walau bagaimanapun, penggunaan aplikasi ini dianggap ‘tidak selamat’ bagi sesetengah pihak berhubung isu kawalan data dan privasi pengguna.

Kerajaan Perancis Halang Kakitangan Daripada Guna WhatsApp & Telegram

Terbaharu, kerajaan Perancis secara rasmi menghalang kakitangannya daripada menggunakan aplikasi WhatsApp atau Telegram atas faktor kelemahan keselamatan.

Halangan itu tidak hanya terhad kepada aplikasi tersebut, malah ia juga turut terpakai kepada Signal dan aplikasi mesej yang lain.

Pengumuman itu dibuat melalui memo daripada Perdana Menteri Perancis Elisabeth Borne yang diumumkan oleh BFMTV pada Rabu (29 November). Halangan itu dikhabarkan bakal berkuat kuasa bermula 8 Disember 2023.

Galak Guna Aplikasi Mesej Tempatan, Olvid

Oleh yang demikian, ahli kabinet digalakkan menggunakan aplikasi mesej tempatan iaitu Olvid yang tidak memerlukan penggunaan kad sim atau nombor telefon daripada pengguna. Ia dikatakan lebih privasi dan selamat berbanding aplikasi yang lain.

Malah, ia juga merupakan satu-satunya platform perhubungan yang dianugerahkan sijil keselamatan oleh French National Agency for the Security of Information Systems (ANSSI). Aplikasi lain yang turut dibenarkan adalah Tchap.

Peraturan Kedua Selepas Kerajaan Halang Aplikasi Yang Lain

Peraturan ini dilihat sama dengan polisi yang diperkenalkan oleh tentera Switzerland di mana anggota mereka perlu berhenti menggunakan tiga aplikasi mesej yang popular iaitu WhatsApp, Telegram dan Signal pada tahun lalu.

Mereka hanya dibenar menggunakan aplikasi tempatan Threema bagi kegunaan mesej rasmi dan peribadi.

Memo yang dikeluarkan oleh Borne itu juga merupakan peraturan kali kedua yang diumumkan oleh Kerajaan Perancis berhubung halangan penggunaan aplikasi.

Pada Mac lalu, Menteri Perkhidmatan Awam Stanislas Guerini telah mengumumkan TikTok dan aplikasi rekreasi yang lain diharamkan juga disebabkan oleh faktor keselamatan.

Malah, Twitter, Instagram, Netflix, permainan Candy Crush dan aplikasi temu janji turut disenaraikan sebagai aplikasi yang dilarang.

Gesa Hadkan Pengunaan Aplikasi TikTok

Dalam pada itu, Majlis Perhimpunan Kebangsaan turut menggesa Ahli Parlimen untuk mengehadkan penggunaan aplikasi TikTok yang mana telah dilarang dalam penggunaan telefon kerajaan di sesetengah negara atas faktor keselamatan.

Pengamal undang-undang juga digalak untuk tidak menggunakan aplikasi seperti Instagram, WhatsApp, Telegram, Snapchat dan Signal.

Aplikasi WhatsApp Didakwa Salur Maklumat Pengguna

Walaupun secara asasnya WhatsApp menawarkan perkhidmatan mesej sulit (encrypted message), aplikasi itu didakwa dengan mudah memberikan data pengguna kepada kerajaan Amerika Syarikat tanpa pengguna menyedari tindakan tersebut.

Malah, kelemahan keselamatan aplikasi itu juga didakwa telah memudahkan alat perisian pengintip Israel, Pegasus dipasang pada telefon pengguna.

Ia dilakukan melalui satu pautan yang boleh menyebabkan telefon berubah menjadi alat pengintipan.

Untuk rekod pada tahun 2021, Presiden Perancis Emmanuel Macron telah menukar nombor telefon bimbitnya selepas dia dan 14 ahli kabinet yang lain menjadi sasaran pengintip Morocco melalui Pegasus.

Pada Julai yang lalu, kerajaan Perancis juga telah memperkenalkan polisi yang membolehkan agensi penguatkuasaan undang-undang mengakses kamera, mikrofon dan lokasi peranti milik individu terlibat dengan aktiviti terlarang seperti keganasan yang boleh membawa hukuman penjara lebih lima tahun.

Baca Artikel Berkaitan: India Bakal Sekat Aplikasi Dari China

Baca Artikel Berkaitan: MCMC Gesa Orang Ramai Tidak Muat Turun Aplikasi Malware, Pink WhatsApp

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.